Harakahdaily, | 01 Jun 2013 |
Menurut Rodziah, ia juga bukan tanpa sebarang pertimbangan dan perancangan awalan yang wajar untuk menyerlahkan komposisi wanita dalam barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor itu berkata, Agenda Pemberdayaan Wanita telah diutarakan dan diterima dalam Kongres Wanita Nasional PKR pada 25 Mei 2007.
Dasar itu, katanya diterjemahkan sebaik Pakatan Rakyat, yang diterajui oleh Parti Keadilan Rakyat, mengambilalih pentadbiran negeri Selangor dengan 40% daripada barisan Exco dan Timbalan Speaker adalah wanita pada tahun 2008.
“Parti Keadilan Rakyat adalah parti pertama di Malaysia yang meletakkan peraturan minimum 30% wanita dalam kedudukan kepimpinan di semua peringkat parti dalam Kongres Khasnya pada 13 Jun 2009,” ujarnya yang juga Timbalan Ketua Wanita PKR.
Menurutnya, misi pemberdayaan wanita Malaysia diteruskan menerusi mekanisme/model yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri Selangor, antaranya ialah Pusat Wanita Berdaya (PWB), di mana pemberdayaan dalam bidang politik dan pembuatan keputusan menjadi antara agenda utamanya.
Beliau berkata, beberapa usaha termasuk memberi laluan kepada wanita menduduki posisi dalam barisan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan dan ketua kampung menjadi sebahagian dari persediaan untuk wanita dalam kedudukan pembuatan keputusan yang lebih tinggi.
Selain kriteria merit, jelas beliau laluan diberi juga di atas dasar memenuhi kuota walaupun individu wanita terpilih tidak pernah sebelum ini memegang jawatan yang ditawarkan.
“Ia adalah medan latihan yang paling praktikal dan ampuh dalam membina ilmu dan kemahiran dalam proses-proses membuat keputusan yang melibatkan bukan saja kemahiran berinteraksi dengan masyarakat tetapi juga pengetahuan mengenai sistem pentadbiran di berbagai peringkat dalam pentadbiran negeri, peraturan dan undang-undang serta dokumentasi yang sempurna,” ujarnya lagi.
Menurut Adun Batu Tiga itu dalam satu kenyataan, seorang bekas Ahli Majlis dan Ketua Kampung wanita serta bekas penyelaras PWB telah dicalonkan dan menang dalam PRU13.
Selain itu, katanya Selangor juga mempunyai seorang YDP wanita dan Datuk Bandar wanita pertama di Malaysia untuk menerajui Pihak Berkuasa Tempatan.
Katanya, dengan kerjasama erat rakan-rakan Exco yang lain, ia tentunya memberi kesinambungan yang mantap bagi memastikan misi pemberdayaan wanita diberi lonjakkan yang sewajarnya ke arah meningkatkan kedudukan dan kualiti hidup wanita, khususnya di negeri Selangor.
“Saya dan rakan-rakan sepasukan mengucapkan terimakasih di atas kepercayaan ini, ia adalah hadiah kepada wanita Malaysia kerana amalan hormat wanita benar-benar dapat di lihat dalam kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor,” katanya lagi.
0 komentar:
Posting Komentar