Selasa, 31 Desember 2013

Anwar Sekali Lagi MENGKRITIK MB Selangor Secara Terbuka


DATUK Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mengkritik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim apabila mendakwa Menteri Besar Selangor itu lambat melaksanakan arahan yang diberikan.

Ketua Umum PKR itu berkata, Abdul Khalid seorang pendengar yang baik tetapi tidak mengamalkan apa yang disarankannya.

“Dia adalah seorang sahabat yang paling setia mendengar berbanding pemimpin PKR yang lain. Tan Sri Khalid seorang yang paling patuh mendengar cuma paling lambat laksanakannya kadang-kadang.

“Saya tegur seorang pemimpin dengan perkara yang baik. Saya tegur supaya dia dapat baiki skru longgar sebelum ini,” katanya dalam ucapan penutup Kongres Nasional Khas PKR 2013 di Shah Alam hari ini.

Semasa kongres itu, semua perwakilan sebulat suara bersetuju dengan pindaan baru perlembagaan parti yang akan dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada minggu hadapan.

Meskipun sindiran itu ditujukan secara terus kepada Abdul Khalid yang duduk berhampiran dengan Anwar, ahli parlimen Permatang Pauh itu tetap memuji pentadbirannya di Selangor yang dilihat dapat mengurangkan pembaziran berbanding kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) sebelumnya.

Anwar berkata rekod pentadbiran Abdul Khalid lebih baik berbanding menteri besar di negeri lain dan menteri besar sebelumnya di Selangor.

“Bila kita tegur, kita lupa bahawa di bawah pemerintahan Selangor dari segi kepimpinan, kewangan, agihan dan pembaziran jauh lebih terkawal yang bukan sedikit. Saudara boleh teliti akaun pengurusan ekonomi zaman Umno-BN dan zaman Pakatan Rakyat, perbezaannya terlalu jauh.

“Saya yakin dia tak curi wang, tak ambil balak, tak ambil tanah dan tak khianati amanah. Itu paling besar,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh perwakilan yang hadir.

Dalam kongres yang dihadiri seramai 885 perwakilan itu turut sebulat suara menolak cadangan Angkatan Muda Keadilan bagi membenarkan pemimpin mereka di peringkat kebangsaan, negeri dan cabang terdiri daripada mereka yang berusia melebihi 35 tahun.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkata usul itu wajar ditolak bagi memastikan parti itu tidak menjunjung konsep politik Umno yang disifatkannya mahu menongkat langit selama-lamanya.

Menjawab cadangan yang diusulkan oleh pembahas bahawa parti itu perlu lebih trampil dalam pelbagai segi, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail  berkata parti itu melalui pindaan perlembagaannya yang baru telah menetapkan pemimpin tertentu bagi mengepalai beberapa sektor kepimpinan dalam PKR.

“Majlis Pimpinan Parti (MPP) memberi setiap satu pemimpin kanan untuk mengepalai satu bidang dan pencapaian mereka akan disemak secara berkala dalam mesyuarat biro politik dan MPP.

“Saya bertanggungjawab soal organisasi dan MPP. Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh bertanggungjawab soal latihan, Azmin soal pilihan raya.

“Ahli Parlimen Selayang soal kewangan dan Timbalan Speaker Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad bertanggungjawab dalam aset kepimpinan baru parti,” katanya mengulas cadangan pembahas kongres yang terlibat hari ini. – 24 November, 2013. – The Malaysian Insider


0 komentar:

Posting Komentar

 

Copyright © spent my time Design by O Pregador | Blogger Theme by Blogger Template de luxo | Powered by Blogger